Plot Astana Idaman

MUSIM PERTAMA

Keluarga Firdaus yang terdiri daripada Datin Rocky serta tiga orang anaknya iaitu Sulaiman, Maria dan Micky berseteru dengan keluarga Mahzan yang terdiri daripada Dr. Mahzan dan Tengku Intan serta dua anak gadis mereka iaitu Balqis dan Sarafina. Permusuhan bermula daripada sebuah kisah cinta tiga segi ketika Datin Rocky dan Tengku Intan masih di alam remaja. Dalam diam, Sulaiman menjalin hubungan cinta dengan Balqis. Sarafina pula tersepit dalam cinta tiga segi antaranya dirinya, Micky dan Karl. Maria pula berkenalan dengan Kamal, esksekutif di syarikat milik keluarganya menjalin hubungan cinta dengannya.

Datuk Mansoor, seorang usahawan terkenal yang popular dengan butik Idamannya, muncul dalam hidup Datin Rocky. Sejarah Datuk Mansoor yang banyak terlibat dengan kegiatan kongsi gelap menyebabkan hubungannya dan Datin Rocky dihalang oleh keluarga Firdaus. Selain itu, Nina, anak saudara Tengku Intan, menyimpan agenda tersendiri untuk keluarga Firdaus. Untuk itu, dia bekerjasama dengan Kamal yang kini telah berjaya menawan hati Maria. Di tengah-tengah kekalutan antara Keluarga Firdaus dan keluarga Mahzan serta individu yang ingin mengambil kesempatan, muncul Kristal Zazalina, seorang gadis Indonesia yang menyimpan dendam terhadap Datuk Mansoor.

Di pengakhiran, Balqis meninggalkan Sulaiman untuk berhijrah ke luar negara. Sarafina memilih Micky walaupun ditentang kuat oleh ibunya. Ketika majlis pembukaan dan perasmian kelab Micky, perbuatan khianat menyebabkan kelab malam itu terbakar...


MUSIM KEDUA

Ekoran daripada kebakaran kelab Malam Micky, Kristal menghilangkan diri, Tengku Intan koma manakala Karl terkorban. Sarafina menjalin hubungan yang serius dengan Micky. Namun, tumpuannya beralih pada Mark, penulis baru di syarikat majalah miliknya yang baru kematian isteri. Sulaiman yang masih menyendiri selepas hubungannya dengan Melissa, Joanna, Balqis dan Kristal, bertemu Sari Syuhada, seorang gadis cantik yang merupakan anak saudara kepada Rudy, kekasih lama Datin Rocky.

Kamal yang memiliki niat jahat terhadap keluarga Firdaus, bekerjasama bersama Zara. Dalam satu tragedi, dia bertemu Mila, dan terus bercadang untuk membantunya. Datuk Mansoor pula menghadapi konflik dengan beberapa pihak kongsi gelap lain iaitu kongsi gelap cina serta kongsi gelap dari Indonesia.

Kemunculan Faridah, isteri kepada Datuk Firdaus menyebabkan Datin Rocky terkejut bahawa dia telah dimadukan sebelum suaminya meninggal dunia. Apa yang lebih memeranjatkan, Sari Syuhada ialah anak Faridah dan Datuk Firdaus yang menjadikan dirinya adik kepada Sulaiman. Kejutan ini memberi tamparan hebat kepada keduanya.

Pada majlis amal Datin Rocky di sebuah hotel, konflik antara kumpulan kongsi gelap tercetus menyebabkan berlakunya tembak-menembak. Mila, Kamal, Zara, Sulaiman serta Datuk Mansoor terkena tembakan. Datin Rocky pula diserang sakit jantung...